Saturday, February 21, 2009

'Nasi kosong, air masak cukup istimewa buat kami'

'Nasi kosong, air masak cukup istimewa buat kami'
Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my

FARIDAH bersama anaknya sedih menceritakan keperitan hidup ketika ditemui di rumahnya di Taman Pelangi, Kampung Tanah Baru dekat Kuala Perlis, semalam.



Wanita enam anak tinggal bersama ibu hadapi tekanan jiwa derita dihimpit kemiskinan

KANGAR: "Setiap hari saya menangis melihat anak tidur dalam kelaparan... bagi kami, nasi kosong dan air masak sudah cukup istimewa," kata seorang ibu enam anak yang hidup dihimpit kemiskinan di Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis, di sini.

Bagi Faridah Hashim, 30, hidupnya ibarat 'sudah jatuh ditimpa tangga' kerana bukan saja menanggung anak berusia tujuh hingga 14 tahun, malah seorang daripada mereka juga menghidap jantung berlubang yang memerlukan perbelanjaan tinggi.

Lebih memeritkan, suami yang dikahwini selama 14 tahun juga menghilangkan diri sejak dua tahun lalu, manakala ibu yang mengalami masalah tekanan jiwa turut tinggal bersama walaupun Faridah mempunyai dua adik beradik lain.



"Selepas suami menghilangkan diri, segala perbelanjaan termasuk menyekolahkan lima anak semuanya saya tanggung sendiri. Di mana saya hendak cari duit sebanyak itu hingga makan minum dan perbelanjaan harian keluarga sering terbantut.

"Malah, perbelanjaan untuk rawatan anak kelima, Mohd Safuan, 7, yang menghidap jantung berlubang juga sudah lama tertangguh... dia kini sering pengsan secara tiba-tiba dan kerap mengadu kesakitan," katanya.

Faridah yang pernah bekerja di sebuah kedai makan di Kuala Perlis, berkata juadah paling istimewa bagi mereka adalah nasi kosong, itu pun selepas mendapat beras yang disedekahkan jiran.

"Sampai bila kami perlu bergantung kepada ihsan rakan dan jiran. Saya cuba juga cari kerja, tetapi masalahnya siapa pula akan jaga anak bongsu serta ibu saya," katanya.

Katanya, setiap kali keluar mencari kerja, anak keduanya, Nurul Fatihah, 13, terpaksa ponteng sekolah kerana menjaga adik dan neneknya.

Faridah berkata, hidup mereka sebelum ini teratur dan segala nafkah tidak pernah terabai kerana suami bekerja sebagai tekong bot, tetapi segalanya berubah apabila lelaki itu berkenalan dengan seorang wanita Thailand, kira-kira dua tahun lalu.

Sejak itu, katanya segala perbelanjaan keluarga dan persekolahan anak mula terabai, malah keadaan kewangan suaminya juga mula tidak teratur sehingga lelaki itu dikatakan menanggung hutang hampir RM9,000 dengan majikannya.

"Saya minta dia tinggalkan perempuan itu demi masa depan anak, tetapi saya dipukul dan dibelasah. Kini, saya sudah tawar hati untuk hidup bersama suami," katanya.

Faridah yang sudah memfailkan fasakh di Mahkamah Syariah untuk menuntut cerai daripada suaminya, pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi diberitahu tidak layak kerana masih muda dan mampu bekerja.

No comments:

Post a Comment